Dipetik dari : http://www.sinarharian.com.my/politik/pr-pula-yakin-tawan-putrajaya-kekal-selangor-1.42763
PR pula yakin tawan Putrajaya, kekal Selangor
24 April 2012
SHAH ALAM - Sekiranya Barisan Nasional (BN) yakin menawan Selangor dan Kedah, Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah Kerajaan Negeri sejak Mac 2008 yakin mengekalkan kuasa selain menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pihaknya berkeyakinan akan menawan Selangor adalah tidak tepat.
Tengku Adnan dalam temu bual bersama Sinar Harian semalam berkata BN yakin dapat merampas semula Selangor dan Kedah dalam PRU13 berdasarkan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap perikatan itu.
Beliau berkeyakinan begitu sebabpengundi di kedua-dua negeri telah menyedari kesilapan mereka dengan menyokong PR.
Selangor dan Kedah adalah antara empat negeri kini dikuasai PR. Dua negeri lain ialah Kelantan dan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, berdasarkan pemantauan jentera PR di Selangor, arah aliran sokongan terhadap perikatan itu semakin meningkat berbanding 2008.
“Kita yakin bukan sahaja Selangor dapat dipertahankan, malah Putrajaya pun mampu ditawan oleh PR dalam pilihan raya akan datang.
“Ini kerana jumlah sokongan yang diterima oleh PR semikin meningkat termasuk peningkatan pengundi Cina sebanyak 80 peratus dan pengundi Melayu hampir 60 peratus," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menegaskan, pembangkang gagal memberikan pembangunan dan kemudahan yang dijanjikan seperti yang dilakukan oleh BN sebelum ini.
Tengku Adnan berkata, BN juga akan melaksanakan Kabinet bayangan bagi kesemua negeri yang diperintah oleh pembangkang, ia bertujuan untuk memberitahu rakyat bahawa BN bersedia untuk merampas dan memerintah negeri tersebut.
Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim pula menegaskan kenyataan Tengku Adnan itu hanya untuk menaikkan semangat ahli BN di negeri ini sahaja.
Menurutnya, situasi sebenar di Selangor adalah berbeza sekali dengan kenyataan tersebut kerana rakyat masih menyokong penuh pentadbiran PR yang diketuai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Beliau terpaksa berbuat demikian untuk menaikkan semangat ahli di negeri ini, hakikatnya, kami masih berkeyakinan akan mengekalkan Selangor sekiranya PRU13 adil dan bersih," katanya.
Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari pula menegaskan, sehingga kini tiada pemimpin BN Selangor yang mampu menandingi kredibiliti menteri besar.
Menurutnya, hampir kesemua pemimpin BN Selangor bermasalah termasuk Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Seri Satim Diman yang pernah dikaitkan dengan keuntungan jutaan ringgit hasil penjualan tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
"Umno jangan bermimpi di siang hari untuk menawan Selangor kerana negeri ini akan kekal dengan kerajaan sekarang, malah Putrajaya juga ditawan PR," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik itu berkata, berdasarkan rekod semasa menteri besar telah menunjukkan komitmen tinggi memajukan negeri dan membantu rakyat.
"Kesungguhan Abdul Khalid memperkenalkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Hasil Negeri Untuk Rakyat jelas mengurangkan beban dan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.
_______________________________________________________________________________
Komen kita:
Wahai Kerajaan, tidak nampakkah lagi ancaman ini? Tidak sedar kah lagi pembangkang nampak peluang untuk menawan Putrajaya akibat perpecahan teruk penjawat awam yang majoritinya tinggal di Putrajaya.
Jadi sebelum terlambat, hapuskan punca perpecahan ini iaitu KSN. Dalam PRU lepas KSN jadi punca kekalahan, kenapa dikekalkan lagi?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.