Sunday 29 April 2012

Hari Ini Dalam Sejarah: BERSIH 3.0 - Satu pandangan



28 April 2012 merupakan hari bersejarah buat negara. Hari itu, kita dikejutkan dengan sejumlah besar rakyat Malaysia berbilang kaum yang berkumpul bermula dari tengah malam lagi.

Kita dimaklumkan bahawa jumlah rakyat yang menyertai BERSIH 3.0 lebih ramai daripada BERSIH 2.0 dan 1.0. Biar berapa pun jumlahnya sama ada kurang atau lebih dari BERSIH 2.0 dahulu, kita tetap mengutuk sekerasnya keganasan yang berlaku pada perhimpunan berkenaan apatah lagi sebagai penjawat awam kita dilarang menyertai perhimpunan sedemikian.

Persoalan menarik ditimbulkan, jika dahulu, hanya bangsa tertentu yang dikaitkan dengan BERSIH 2.0, tapi kini ketiga-tiga bangsa utama rakyat Malaysia dilihat sanggup menyertai perhimpunan berkenaan.

Di manakah silapnya?

Adakah kerana pemansuhan ISA dan akta tertentu yang melarang perhimpunan menyebabkan rakyat menjadi lebih berani berhimpun?

Adakah program kerajaan selama ini seperti 1Malaysia, GTP, ETP, RTC, KR1M, BR1M dan sebagainya masih gagal memenangi hati rakyat?

Atau, kerajaan masih belum cukup mendengar denyut nadi rakyat bahawa program berkenaan bukan apa yang diperlukan oleh rakyat selama ini?

Kita tertanya-tanya, dengan jumlah yang besar sebegitu, adakah ianya mewakili "SILENT MAJORITY" yang kini mahu bangkit dan menunjukkan 'suara' mereka yang tidak didengari kerajaan selama ini?

Begitulah juga dalam perkhidmatan awam. YAB PM sepatutnya mendapat isyarat jelas serta mendengar kehendak dan kemahuan penjawat awam. Adakah penjawat awam perlukan PEMANDU, PEMUDAH, UNIK Corp, Talent Corp, SRI dan sebagainya?

Jika dahulu sewaktu krisis negara, kitalah penjawat awam yang merupakan benteng kepada negara yang telah mengatasi segala krisis negara dengan jayanya. Pada masa itu tidak ada PEMANDU, PEMUDAH dan sebagainya. Mengapa kini diperlukan terlalu banyak unit-unit sedemikian?

Ramai penjawat awam mengatakan kerajaan seolah-olah tidak lagi mempercayai penjawat awam untuk melaksanakan program besar negara bila ditubuhkan banyak unit-unit baru seperti PEMANDU, PEMUDAH dan sebagainya. Sedangkan dalam sektor swasta, tiada pula diujudkan unit sedemikian.

Justru, untuk mendapat sokongan penjawat awam dalam PRU13 nanti bukan hanya dengan memberi kenaikan gaji 7 hingga 13% semata-mata (sedangkan skim nya pula amat teruk dari SBPA!)

Sebaliknya dengarlah denyut nadi penjawat awam sendiri tentang masa depan yang kita inginkan.

Jangan dengar daripada orang luar yang bukan penjawat awam kerana mereka tidak tahu apa yang penjwat awam inginkan. Jangan cepat juga membuang air di tempayan bila mendengar guruh kuat ciptaan CUEPACS.

Yang paling penting YAB PM jangan dengar dari penasihat haprak seperti KSN yang semuanya nampak indah bak fatamorgana (seperti mana membatalkan SBPA dan kembali ke SSM Plus) sedangkan kita penjawat awam di akar umbi menderita dek wayang kulit permainan KSN seperti dalam SBPA dan SSM Plus!

Masanya belum terlambat untuk YAB PM mendengar dan mengambil tindakan terhadap denyut nadi penjawat awam yang semakin bosan dengan KSN.

Jika tidak, kita khuatir silent majority dalam perkhidmatan awam akan hilang sabar bila melihat kerajaan tidak mengendahkan penjawat awam maka mereka memilih PRU nanti untuk menunjukkan kuasa sebenar. Moga dijauhi yang buruk dan selamatkanlah Malaysia yang kita kasehi.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.